SweetMuslimah.com

Wednesday, June 24, 2015

Pendaftaran Pusat Tahfiz Penyanyi Amy Search diiktiraf JAIS


Assalamualaikum..



amy
Permohonan Amy Search Diluluskan oleh JAIS

          Golongan artis seharusnya mencontohi sikap penyanyi kumpulan Search, Suhaimi  Abdul Rahman atau Amy kerana berjaya mendirikan dan mendaftarkan sebuah sekolah tahfiz, Sekolah Al-Quran dan Hadis Al-Bayan di Sungai Buloh.
Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dr. Mohd Kamal Radiman berkata, daripada seorang yang terkenal dalam bidang hiburan Amy menceburkan diri dalam bidang pendidikan agama.
Menurutnya, pujian patut diberikan kepada penyanyi berkenaan kerana berjaya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat umum.  
“Amy adalah artis kedua yang mohon mendirikan sekolah agama swasta selepas Azmil Mustapha, tetapi beliau menjadi artis pertama yang diluluskan permohonannya dan berjaya mendaftarkan sekolahnya,” katanya ketika sidang media Program Kebenaran Pendaftaran Pusat Tahfiz di Bangunan Jais, semalam.  
Mohd Kamal berkata, usaha penyanyi rock tersohor itu adalah satu inisiatif yang baik kerana beliau berjaya menambah jumlah sekolah dan pelajar tahfiz di negeri Selangor. 
“Semoga Amy mendapat sokongan daripada semua pihak, ibu bapa dan masyarakat. Teruskan usaha yang baik ini agar sekolah yang didirikan menjadi lebih besar dan meraih perhatian lebih ramai orang pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Amy berkata, beliau gembira kerana berjaya menubuhkan sebuah sekolah tahfiz yang diimpikan selama ini.
Menurutnya, sekolah tahfiz itu adalah satu daripada dua sumbangan penting yang mahu ditinggalkannya di dunia selain bakat nyanyian.
“Saya ini penyanyi dan saya mahukan sesuatu yang mampu memberi faedah pada orang ramai. Siapa tahu, peminat saya juga akan menghantar anak mereka di sekolah ini nanti,” katanya.
Sekolah Al-Quran dan Hadis Al-Bayan dibuka secara rasmi pada Disember tahun lalu dengan jumlah pelajar lelaki seramai 16 orang.
Sekolah yang terletak di Saujana Utama ini menekankan sepenuhnya pendidikan berteraskan agama yang bertujuan melahirkan hafiz berkualiti.
Menurut Amy, sekolah ini akan memainkan peranan sebagai taman ilmu yang bukan sahaja mengajar tetapi turut menyampaikan sahsiah dan pekerti yang mulia.
Semoga usaha dan niat murni penyanyi ini dipermudahkan oleh Allah. walau siapa pun kita jika kita melakukan sesuatu yang baik maka In sha Allah akan dipermudahkan Allah.


No comments:

Post a Comment