SweetMuslimah.com

Thursday, June 4, 2015

Pembahagian Baucer Dana Raya, Bakti Remaja Untuk Rakyat Terengganu


3 JUNE 2015 6:20 PM

Kerajaan negeri akan mengagihkan pembahagian baucar bantuan Hari Raya Aidilfitri dan Dana Bakti Remaja 2015 kepada penerima bermula 8 hingga 17 Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, baucar berkenaan boleh ditebus bermula 18 Jun hingga 30 September di tiga buah bank iaitu Bank Simpanan Nasional, Maybank dan Agro Bank yang ditetapkan mengikut DUN masing-masing bagi memudahkan orang ramai.

Katanya, bagi bantuan Hari Raya Aidilfitri seramai 194,240 penerima di 32 DUN dalam negeri ini akan mendapat bantuan berkenaan yang melibatkan peruntukan RM71,541,000.

“Kategori yang kita beri ialah Orang Kelainan Upaya (RM300), warga emas (RM300), duda/ibu tunggal ada anak (RM400), duda/ibu tunggal tiada anak (RM300), orang miskin ada anak dan isteri (RM400), orang miskin (bujang berumur 41 tahun keatas dan bergaji RM1500 ke bawah) sebanyak RM300,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Sementara itu katanya, bagi bantuan Dana Bakti Remaja pula akan diagihkan kepada 87 559 penerima yang melibatkan kos sebanyak RM17,511,800.

“Mereka yang berumur 21 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima bantuan sebanyak RM200 ini,” katanya.

Ahmad Razif berkata, bagi mereka yang sukar untuk melakukan penebusan baucar di bank seperti warga emas dan Orang Kelainan Upaya, agihan bantuan tersebut akan dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Pengerusi Penyelaras DUN masing-masing.

No comments:

Post a Comment